Thursday, October 14, 2010

Kadang-kadang

Kadang-kadang kita lupa tujuan kita di hidupkan di muka bumi ini. Dengan tanggungjawab yang perlu dipikul. Tetapi selagi bernafas di bumi Allah ini, kita perlu melaksanakan segala-galanya sebaik mungkin.

Kadang-kadang kita lupa, tanggungjawab yang perlu kita pikul yang telah ditetapkan oleh Allah. Malah setiap agama juga percaya akan tanggungjawab yang perlu dilakukan. Semua orang memainkan peranan yang penting dalam menghidupkan institusi kehidupan, kekeluargaan, pekerjaan dan sebagainya. Cara hidup yang sihat mengikut agama masing-masing. Islam terbukti sebagai agama yang unggul, tidak menyusahkan penganut2 nya, cuma kadang-kadang kita lupa yang apa yang perlu kita lakukan sebagai penganut atau pengikut yang patuh cuma sedikit berbanding apa yang Allah sediakan sebagai ganjarannya. Amat sukar untuk membuat yang sedikit itu..

Kadang-kadang kita juga sering lupa, amanat yang Allah tentukan pada setiap makhluk di muka bumi ini. Mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain sehingga lupa tujuan utama kehidupan ini.

Kadang-kadang- kita lupa setiap dugaan atau ujian yang diturunkan Allah, tandanya Allah amat menyayangi hambaNya itu. Allah tidak akan menduga jika hamba itu tidak mampu untuk menanggung segala yang dialami. Sabar adalah kunci kepada semua perkara.

Kadang-kadang kita lupa, apa yang Allah beri hari ini adalah satu kurniaan atau anugerah. Masih tidak bersyukur sehingga wujudnya rasa tidak puas hati atau dengki dengan kelebihan orang lain. Kadang-kadang kita lupa perasaan dengki ini adalah suatu sikap yang amat buruk dan boleh menjerumuskan manusia ke arah yang lebih negative, seperti fitnah malah mungkin sehingga membunuh. Zikir dan tanamkan sikap sering bersyukur serta redha dengan segala ketentuan Allah, Insyaallah..perasaan ini akan sembuh.

Kadang-kadang kita lupa, apa yang ada hari ini, selepas apa yang telah kita lalui sebelum ini. Justeru itu, sesekali ada kalanya, kita perlu menoleh ke belakang untuk menilai semula apa yang telah kita lalui. Ada perkara yang perlu ditingkatkan kualitinya, ada yang perlu ditinggalkan demi untuk memastikan kita menjadi seorang hambaNya yang berkualiti serta patuh. Juga agar kita tidak mudah lupa diri dan terlalu taksub dengan apa yang ada sekarang.

Kadang-kadang kita lupa setiap dugaan atau kejadian ada hikmahnya yang tersendiri. Di setiap yang kita tangisi akan ada ketawa serta sinar di keesokan harinya. Seperti wujudnya pelangi selepas hujan yang lebat beserta kilat dan petir. Akan kekalkah pelangi itu selama-lamanya?


No comments:

Post a Comment