Tahun 2010 hampir ke penghujung. Azam tahun baru? Masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan. 2011..dengan lebih tanggungjawab yang perlu dipikul dan digalas jika perancangan yang dibuat berjalan dengan lancar. Semoga Allah mempermudah serta melancarkan segala yang perlu kulalui.
Semoga Allah sentiasa memberi kesabaran pada kami untuk meneruskan kehidupan di bumi ini. Kesabaran dalam mendidik anak-anak supaya menjadi anak-anak yang soleh dan berjaya di dunia & akhirat. Adakala mungkin kita tersasar..kesilapan itu adalah atas kelemahan diri sendiri..semoga Allah memberi ketabahan, kesabaran yang tinggi buat kami demi merealisasikan impian & harapan yang murni ini.
Cerita anak-anak memang tak habis-habis...ragam, asam garam yang pelbagai. Hari ini lain, esok mungkin tak sama.
Sekarang tentu semua ibubapa sedang sibuk menyediakan segala alat kelengkapan sekolah buat anak-anak. Mana nak beli baju sekolah, sekolah agama, beg sekolah, kasut sekolah, buku tulis, stationery dan lain-lain lagi. Itu belum yuran, registration fee dan macam-macam lagilah. Itulah tanggungjawab dan pengorbanan yang perlu kita lakukan demi anak-anak yang tercinta. Semoga pengorbanan kita ini akan mereka ingat sampai bila-bila...bukan balasan yang kita minta, cuma ingatan, kesedaran pada mereka untuk lebih menghargai pengorbanan ibubapa dalam membesarkan anak-anak. Supaya mereka sedar akan tanggungjawab yang perlu pula mereka lakukan untuk diri mereka sendiri khasnya dan ibubapa amnya. Belajar sehingga ke peringkat tertinggi yang mampu..demi masa depan.
Mengimbas kembali zaman persekolahanku sendiri dahulu membuatkanku cukup terharu dengan pemgorbanan kedua ibubapa. Membesarkan nak-anak yang seramai 8 orang bukan suatu perkara yang mudah. Arwah emak adalah seorang surirumah sepenuh masa manakala arwah abah yang dulunya bekas british army di Singapore yang telah bersara pada usia 30 an. Dan melalui zaman kemelesetan yang melanda Malaysia ketika itu. Selepas berusaha mencari kerja sepulangnya dari Singapore akhirnya berpeluang bekerja di Telekom sebagai driver.
Gaya hidup sebelum itu yang agak mewah terpaksa di adjust dengan cara hidup yang baru. Alhamdulillah berkat didikan ibubapa, kami anak-anak ini sentiasa mensyukuri setiap apa yang ada...tidak pandai berkeluh-kesah. Berapa sangatlah gaji sebagai driver pada masa itu...kami yang semakin membesar...seingatku, setiap bulan seguni bekalan beras yang perlu disediakan. Subhanallah...
Masihku ingat lagi, masa tu abangku yang ke2 diterima masuk ke ITM di Shah Alam. Betapa gembira dan bangganya kedua orang tua tu. Secara kebetulan emak dikurniakan sedikit kelebihan, apa yang dibuat InsyaAllah menjadi..ayam-ayam yang diternak pada mulanya secara suka-suka saja membiak dengan begitu banyak sekali. Jadi kami yang masa tu masih kecil, begitu seronok membantu menangkap ayam beramai-ramai (betul-betul macam cerita Lat, Budak Kampung yang disiarkan di TV) untuk dijual pada Apek yang akan menimbang berat ayam-ayam ni dengan dacing yang dibawa. Bila dingat-ingatkan kembali, dengan jumlah ayam dan duit yang diterima pada masa tu memang tak berbaloi...tapi sekurang-kurangnya dapat menambah-nambah untuk menampung serba sedikit perbelanjaan abangku tu nanti...
Alhamdulillah, sekarang anak-anak tidak perlu melalui apa yang telah kami lalui..Semoga urusan Allahyarham & Allahyarhamah sentiasa dipermudahkan di sana & moga mereka ditempatkan di tempat orang yang beriman dan beramal soleh...Amin!!
No comments:
Post a Comment