Saturday, March 5, 2011

RODA KEHIDUPAN

Assalamualaikum w.b .t...

Tahun Baru selalunya akan diiringi azam untuk membuat yang lebih baik atau terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Selalunya begitulah...tidak ketinggalan juga syarikat tempat kita bekerja. Bermula dengan bonus di hujung tahun, team building sebagai motivasi kepada pekerja untuk terus berjuang dan jika ada lebih tentunya increment sebagai imbuhan di atas segala contribution dan commitment yang telah kita lakukan sepanjang tahun. Alhamdulillah.....

Cerita pasal increment, selalunya ianya berdasarkan performance di sepanjang tahun. Adalah normal perasaan tidak puas hati di kalangan pekerja yang merasa teraniaya. Bermula dengan gossip ringan, dan mereka akan menjadi lebih agresif jika berjumpa pula dengan teman yang sekepala. Dan akan lebih teruk jika mendapat tahu rakan yang pada pendapat mereka kerjanya tak seberapa mendapat lebih daripada mereka.

Bagi aku pula, segalanya dari Allah. Kelahiran, rezeki , ajal & maut telah ditentukan oleh Allah. Kita cuma boleh berusaha, berdoa dan bertawakal. Mungkin adakalanya kita berasa kita berhak mendapat lebih dari yang sepatutnya tetapi kita harus terima hakikat & redha dengan segala ketentuan Tuhan. Setiap yang tersurat tentu ada hikmahnya yang tersendiri dan aku percaya rezeki itu mungkin akan datang dari sumber yang lain. Betapa indah & uniknya Islam, yang amat menitikberatkan soal rohaniah, melatih umatnya agar sentiasa sabar & redha atas setiap dugaan. Konsep inilah antara yang membezakan Islam dengan agama yang lain.

Berbincang dengan cara yang berhemah diharuskan. Sekurang-kurangnya kita tahu mengapa dan atas dasar apa keputusan itu dibuat. Jika banyak kekurangan InsyaAllah kita akan cuba pertingkatkan dimasa hadapan. Cuba berbincang semasa diri dalam keadaan tenang kerana jika didalam tekanan emosi ia tentunya akan lebih memburukkan keadaan.

Paling penting, kerja itu adalah ibadah...selagi kita bekerja kita harus bekerja sebaik mungkin....kalau rasa banyak sangat yang tidak kena dan sering meluahkan rasa tidak puas hati...sebaik-baiknya carilah peluang kerja di tempat lain...lebih berkat, bukan?

Teringat lagi kata-kata bekas majikan lamaku, Mr Ravi," hidup ini seperti roda, sentiasa berputar. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah". Selain daripada sikap redha akan ketentuan Allah, percayalah, kata-kata ini berjaya memudarkan rasa tidak puas hati, marah dan kecewa yang kita alami.

Sehingga bertemu kembali..

No comments:

Post a Comment